Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Hernie Suliana Haji Othman
BUDAPEST, HUNGARY, Isnin, 17 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat tiba di Budapest, Hungary, hari ini, bagi mengadakan Keberangkatan Negara yang dijadualkan berlangsung pada 18 November 2025.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Sejurus keberangkatan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Liszt Ferenc Budapest, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung dengan diberi penghormatan Kawalan Kehormatan Statik serta dialu-alukan oleh Director-General of the Sándor Palace, Dr. Timár István Szilveszter dan Chief of Protocol of the Sándor Palace, Puan Katinka Kónya.
Mengalu-alukan bersama keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof dan Chargé d'Affaires ad interim di Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Brussels, Kingdom of Belgium (Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam Tidak Menetap ke Hungary), Jefferson Leong Weng Hong.